Sunday 22 July 2012

ღღ Selamat Menunaikan Ibadah Puasa ღღ


Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui Sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan (yakni) bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu Neraka ...…….”

Kelebihan Di Bulan Ramadan
Bulan Ramadan diibaratkan sebuah madrasah. Didalamnya penuh dengan tarbiyah dan ibadah. Saat itulah seluruh umat Islam berlumba-lumba mendapatkan kelebihan yang ada padanya. Bahkan ada juga yang mengibaratkan bulan Ramadan umpama sebuah karnival. Karnival ibadah!
Di antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amal ibadat kepada-NYA. Padanya juga turunnya Al-quran serta terjadinya malam Lailatul Qadar dan dicatatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 10 terakhir di bulan Ramadan.
Firman Allah yang bermaksud :-
"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an........".
(Surah Al-Baqarah ayat 185)
FirmanNya lagi :-
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.".
(Surah Al-Qadr ayat 3)
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya :-
"Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.".
(Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai)
Selain itu, pada bulan Ramadan syaitan dibelenggu sementara pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud:-
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".
(Hadis riwayat Sahih Bukhari)
Dengan berpuasa juga, memberi kesihatan kepada badan kita di mana keseimbangan badan akan terkawal. Sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya mendapat kerehatan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar.  Analoginya, sebuah mesin akan mudah rosak apabila sering digunakan tanpa henti. Begitu jugala sistem penghadaman di dalam badan kita.

No comments:

Post a Comment